Dalam bahasa Malaysia ianya dipanggil "amanah saham" tetapi lebih
popular dengan gelaran "unit amanah" pada masa kini. Dalam bahasa
Inggeris pula dipanggil "unit trust" ataupun "mutual fund"
untuk sesetengah negara. Tapi di Malaysia lebih dikenali sebagai unit trust
lah. Okeylah, seterusnya kepada definisi pula.
Dari segi definisi menurut Persekutuan Pengurus Unit Amanah
Malaysia atau lebih dikenali sebagai Federation of Malaysian Unit Trust
Managers (FMUTM): Skim unit amanah atau UTS(Unit Trust Scheme) merupakan suatu
bentuk pelaburan kolektif yang membolehkan pelabur yang mempunyai objektif
pelaburan yang sama supaya mengumpulkan wang mereka dan kemudian wang tersebut
dilaburkan ke dalam portfolio sekuriti atau aset lain yang diuruskan oleh
profesional pelaburan.
Dalam bahasa mudahnya, pelabur akan laburkan wang mereka di bawah dana yang
dipilih oleh mereka sendiri untuk tujuan yang sama iaitu untuk mendapatkan
hasil pulangan daripada wang yang mereka laburkan itu. Wang yang mereka
laburkan di dalam dana-dana terpilih itu pula akan diuruskan oleh orang-orang
yang mahir dalam bidang pelaburan di bawah kelolaan Syarikat Pengurusan Unit
Amanah atau dikenali dengan Unit Trust Management Company (UTMC).
KENAPA UNIT AMANAH DIKATAKAN PELABURAN SECARA KOLEKTIF?
"Skim pelaburan kolektif" adalah istilah umum yang
merangkumi pelbagai jenis peluang pelaburan terkumpul yang tersedia untuk
pelabur. Dalam skim pelaburan kolektif, sebilangan pelabur menyerahkan simpanan
mereka kepada pengurus tabung profesional yang mengurus tabung kutipan untuk
menghasilkan pulangan yang dapat dikongsi bersama oleh pelabur tersebut. Skim
Unit Amanah (SUA) adalah satu jenis skim pelaburan kolektif.
Kalau masih tak faham, saya guna bahasa kasar sahaja. Secara mudahnya, kita ramai-ramai masukkan duit kita
dalam satu dana yang diuruskan oleh suatu syarikat pengurusan dana yang
dipanggil UTMC (rujuk atas untuk istilah penuh). UTMC ini pula akan laburkan
duit kita dalam pelbagai portfolio yang diluluskan seperti sekuriti, bond
ataupun aset-aset lain dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa
Malaysia atau pasaran ekuiti di luar negara. UTMC ini mestilah yang diluluskan
oleh Suruhanjaya Sekuriti (Securities Commission – SC) dan terikat dengan
beberapa akta perundangan. Selain daripada SC, beberapa pihak lain juga
terlibat dalam mengawal-selia industri skim unit trust ini demi menjaga
kepentingan pelabur-pelabur, antaranya ialah Pemegang Amanah (Trustees),
Juruaudit (Auditors), FMUTM dan Kementerian Kewangan. Jadi jangan risau ke mana
wang kita tu "berjalan". Dijamin selamat.
Dalam skim unit trust, pelabur-pelabur tidak membeli sekuriti/stocks secara
direct dalam portfolio. Pemilikan dana (portfolio) akan dibahagikan kepada unit
dan pelabur-pelabur dikenali sebagai ‘pemegang unit’
(unit-holders).Pelabur-pelabur bukannya pemegang saham dalam sesuatu syarikat
yang dilaburkan, sebaliknya merupakan benefisiari di bawah amanah yang
diwujudkan oleh UTMC. Mengikut perlembagaan atau ‘surat ikatan’ (the deed) skim
unit trust, mesti terdapat pemegang amanah (trustee) untuk menjaga kepentingan
pelabur. Trustee adalah pemilik sah ke atas semua aset dalam skim unit trust
bagi pihak pemegang unit.
MENGAPA PERLU MELABUR DALAM UNIT AMANAH?
Setiap pelaburan semestinya mempunyai risiko yang tertentu, tetapi bergantung
kepada jenis pelaburan dan tahap risikonya. Semakin tinggi risiko semakin
tinggilah pulangannya. Tetapi itu bagi pelabur yang rajin dan mempunyai masa
untuk menganalisis setiap stok yang ingin dilaburkan. Itu adalah cerita tentang
saham-saham yang tersenarai di Bursa Malaysia bukannya tentang unit amanah. Ia
berlainan sekali.
Nilai atau harga satu unit dalam skim unit trust dikenali sebagai “Nilai Aset
Bersih” atau “Net Asset Value – NAV” per share. Satu unit dalam skim unit trust
merupakan ‘bahagian’ berkadar daripada jumlah perlaburan yang terkumpul. Jadi,
apabila nilai pelaburan dalam portfolio skim unit trust meningkat atau menurun,
maka NAV juga akan turut meningkat atau menurun. Dalam beberapa skim yang
ditaja oleh kerajaan (contohnya ASB) dimana portfolio tak tertakluk kepada
perubahan nilai, NAV ditetapkan pada RM1.00. Tak seperti dalam stocks, dimana harga
boleh berubah-ubah pada setiap kali urus-niaga, NAV bagi sesuatu unit trust
fund hanya dikira pada setiap penutup hari urus-niaga. Jadi NAV sesuatu fund
akan disebut-harga dan disiarkan di suratkhabar utama atau halaman web UTMC
berkenaan pada keesokan hari urus-niaga.
Skim unit trust memberi peluang pelaburan untuk pelabur-pelabur kecil mengakses
dengan mudah pelbagai jenis pelaburan yang pada kebiasaannya sukar diakses.
Bayangkan kalau kita nak invest secara langsung atau membeli stock dalam
sesuatu syarikat ‘blue-chip’ yang besar seperti TNB, Telekom, Maxis dan
sebagainya, berapa puluh ribu ringgit kita kena ada untuk membeli satu lot
stock? itu belum kira kos broker saham dan lain-lain lagi. Tapi dengan
skim unit trust, kita berpeluang melabur dalam stock ni. Bukan setakat
satu syarikat malah dalam pelbagai syarikat. Inilah yg dipanggil kepelbagaian
atau “diversification’ yang mana dapat mengurangkan risiko kalau melabur dalam
satu portfolio sahaja.
Unit amanah juga boleh dianggap sebagai tempat simpanan wang
kita untuk jangka masa sederhana atau panjang dengan memperolehi keuntungan
tertentu. Terpulang kepada matlamat si pelabur. Jika mahukan sejumlah wang
tertentu di akhir tempoh yang dijangkakan, sudah pastilah memerlukan sejumlah
wang tertentu untuk dilaburkan bagi mencapai jumlah wang yang dimahukan.
Dan ia merupakan satu pilihan yang bagus untuk memulakan perancangan kewangan anda
untuk masa akan datang. Jika mahu memupuk sikap menabung mestilah memerlukan
matlamat tersendiri. Mustahil jika mahu menyimpan untuk suka-suka tanpa sebab
tertentu. Masyarakat zaman kini sudah hilang nilai menabungnya. Wang lebihan
yang ada sudah pasti akan "dilaburkan" kepada barang-barang berjenama
atau gadjet-gadjet terbaru yang ada di pasaran. Tidak salah untuk membeli
tetapi perlulah mengikut keperluan dan keadaan ekonomi diri.
Ciri-ciri umum pelaburan SUA
Melabur di dalam unit amanah sangat mudah dan menguntungkan. Nak
tahu kenapa? Ini kerana SUA hanya boleh melabur di dalam sekuriti yang:
1) selaras dengan matlamat SUA: apa matlamatnya?
sudah tentulah memastikan pelabur mendapat keuntungan daripada modal pelaburan
mereka!
2) boleh dipindah milik: ya! pelabur boleh menamakan
waris pada pelaburan mereka.
3) mempunyai sebut harga atau nilai yang sedia ada (tertakluk
kepada nilai pasaran semasa)
4) diniagakan pada pasaran yang layak dan dikawal selia dengan
sempurnanya (ambil perhatian bahawa sekuriti yang disenaraikan juga boleh
diterima sebagai pelaburan SUA)
5) mempunyai bukti yang cukup tentang hak milik atau pemilikan (supaya
boleh dipegang atas nama pemegang amanah)
Dari segi risiko, terdapat pelbagai tahap namun ia masih di paras yang
melegakan dan menggembirakan para pelabur. Dengan risiko yang berpatutan dan
boleh diterima umum, kebanyakan pulangan pelaburan untuk jangka masa sederhana
dan panjang (lebih 5 tahun) dalam skim unit amanah ini adalah lebih tinggi
daripada pulangan akaun biasa dan akaun tetap serta jenis-jenis skim yang
lain. Jadi mengapa perlu menunggu untuk mendapatkan pendapatan lebih hanya
melalui skim unit amanah?
Bak kata orang tua-tua menabung sikit-sikit,
lama-lama jadi bukit...samalah seperti skim unit amanah ini, semakin cepat kita
memulakan penabungan, semakin kukuhlah kewangan kita pada masa akan datang
nanti.
Tips kewangan: Menabung SEKARANG adalah lebih
baik daripada menabung NANTI. SEKARANG hanya memerlukan amaun yang sedikit
secara berkala tetapi NANTI memerlukan amaun yang banyak untuk MENYAMAKAN
jumlahnya dengan masa SEKARANG di masa akan datang. Jadi jalan yang mana anda
mahu? SEKARANG atau NANTI?
Nota: Kebanyakan maklumat adalah diambil
daripada nota "Urus Niaga Unit Amanah" yang dikeluarkan oleh FMUTM
dan beberapa website berkaitan unit amanah.
UNTUK KETERANGAN LANJUT HUBUNGI :
013-9443802 EN.ASYRAF
asyraf_era@yahoo.com